Program ASEAN–UiTM Fusion merupakan salah satu subprogram utama di bawah Festival Kolej (FESKO-17) yang dianjurkan secara kolaborasi oleh Jawatankuasa Perwakilan Kolej Tun Abdul Razak bersama-sama Jawatankuasa Perwakilan Kolej lain di UiTM Cawangan Kelantan. Program ini menghimpunkan delegasi antarabangsa daripada beberapa universiti rakan ASEAN seperti Cagayan State University (Filipina), Prince of Songkla University dan Princess of Naradhiwas University (Thailand), serta Singapore University of Social Sciences (Singapura) bersama barisan kepimpinan mahasiswa UiTM. Penganjuran program ini bertujuan menjadi platform integrasi budaya, pertukaran idea kepimpinan serta pengukuhan jaringan kerjasama antara mahasiswa UiTM dan mahasiswa antarabangsa. Melalui pelbagai slot seperti ASEAN Youth Voices Talk, Open Dialogue with ASEAN Youth, serta ASEAN Student Dialogue (Wrap-Up Session), para delegasi berpeluang berkongsi pengalaman, strategi kepimpinan, serta pandangan mengenai pembangunan mahasiswa di peringkat serantau. Selain itu, program ini turut menyelitkan aktiviti kebudayaan dan pertandingan yang membolehkan para peserta menghayati kepelbagaian warisan dan tradisi ASEAN, di samping memperkukuh hubungan diplomasi pelajar melalui pengalaman rentas budaya. Selain menjadi platform pertukaran budaya dan kepimpinan, program ini turut berfungsi sebagai wadah akademik dan ilmiah dengan menyediakan ruang pembelajaran berasaskan pengalaman (experiential learning). Dapatan daripada sesi dialog dan soal selidik akan didokumenkan dalam bentuk ringkasan ilmiah pasca program untuk menyokong aktiviti pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan UiTM. Secara keseluruhannya, ASEAN–UiTM Fusion diharap dapat melahirkan mahasiswa yang berpengetahuan luas, berdaya saing global, dan bersedia menjadi duta kepimpinan pelajar di peringkat antarabangsa. Objektif Program : i. Memperkukuh hubungan antarabangsa antara UiTM dan universiti rakan ASEAN melalui pertukaran budaya, pengalaman serta kepimpinan mahasiswa. ii. Menggalakkan pertukaran idea dan amalan terbaik dengan memberi ruang kepada delegasi antarabangsa dan pelajar UiTM untuk berkongsi pandangan, strategi kepimpinan serta pengurusan organisasi yang berkesan. iii. Meningkatkan kefahaman rentas budaya dengan memupuk penghargaan terhadap kepelbagaian budaya ASEAN melalui aktiviti interaktif, pertandingan dan persembahan yang melibatkan delegasi serta pelajar tempatan. iv. Melahirkan mahasiswa berdaya saing global dengan menyediakan platform pengalaman antarabangsa yang memperkaya kemahiran insaniah, memperluas perspektif global, dan memperkukuh daya kepimpinan. v. Menyokong proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) UiTM dengan memberi peluang mahasiswa mengaplikasi experiential learning melalui aktiviti kepimpinan dan pertukaran budaya. vi. Menghasilkan ringkasan ilmiah pasca program sebagai bahan rujukan akademik/ko-kurikulum yang boleh dimanfaatkan oleh fakulti dan pihak universiti
Reference letter: 100-CK(HEP/JPKNR/35/6/1)