Konferensi ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Pendidikan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam yang berperanan sebagai platform mengangkat dan mengukuhkan konsep kepentingan nilai-nilai manusiawi dalam pendidikan masa depan.
Pendidikan Islam kontemporari bukan sekadar memanfaatkan segala bentuk inovasi dan kemudahan teknologi kecerdasan buatan, tetapi tetap berpegang kepada nilai teras manusiawi agar kemuliaan insan atau keramatul insan tetap terpelihara dan tamadun sejahtera yang bersifat sejagat dapat dicapai. Di bawah tema "Karamatul Insan: Prinsip Emas dalam Pendidikan Islam Masa Depan," FIEN 2024 dijalankan oleh ACIS sebagai platform terbaik khusus untuk melonjak dimensi nilai-nilai kemanusian yang berteraskan keimanan, mahabbah dan kesejahteraan sejagat dalam konteks pendidikan Islam di Malaysia khususnya.
Dunia mengalami transformasi yang mengarah kepada penggunaan kecerdasan buatan yang semakin luas. Cabaran mempertahankan nilai kemanusiaan di peringkat global juga semakin kuat khususnya dalam hubungan negara Islam di peringkat antarabangsa. Justeru, peranan pendidikan Islam bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga dewasa menjadi lebih kritikal bagi mengukuhkan ketamadunan yang berpasak kepada nilai keimanan, mahabbah dan kesejahteraan sejagat. Tema "Karamatul Insan" melambangkan kemuliaan maruah manusia yang dikurniakan kepada setiap individu dan berfungsi sebagai prinsip panduan dalam membentuk sistem pendidikan dan kehidupan yang sejahtera lagi mensejahterakan.
Ini bagi mencapai objektif penganjuran sebagai satu platform menghubungkan penyelidikan berteraskan pendidikan Islam kontemporari di antara UiTM dan masyarakat luar serta membentangkan dan menerbitkan kertas kerja penyelidikan di jurnal antarabangsa.Selain sebagai satu medan dialog industri dan pakar di dalam membincangkan nilai-nilai teras pendidikan dan masyarakat di dalam negara dan platform kepada penajaan inovasi kepada pelajar dan staf UiTM.