Pertandingan peta kreatif merupakan satu inisiatif yang bertujuan untuk menggabungkan kemahiran teknikal dan artistik dalam bidang kartografi, dalam menghasilkan peta yang tepat, berinformasi dan kreatif dari segi visual. Pertandingan ini mendorong inovasi dalam penggunaan teknologi pemetaan dan kreativiti dalam rekabentuk. Program ini juga dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan peta dalam pelbagai aspek kehidupan seperti pendidikan, perancangan bandar, dan pengurusan alam sekitar. Selain itu, pertandingan ini dapat mencungkil bakat baru dalam memajukan bidang kartografi dengan menghasilkan peta-peta yang lebih baik dan lebih bermanfaat kepada masyarakat. Penganjuran program ini juga menjadi salah satu platform bagi meningkatkan kebolehan dan ketampakan pelajar dan pensyarah UiTM Cawangan Perak dalam menerokai bidang inovasi.
Objektif program ini adalah seperti berikut:
i. Meningkatkan kreativiti dalam rekabentuk peta disamping memupuk kesedaran sejarah dan warisan Malaysia.
ii. Memberi peluang kepada peserta untuk menonjolkan bakat seni dan kreativiti dalam menghasilkan peta yang unik dan menarik, serta menggalakkan inovasi bagi mengekspresikan tema kemerdekaan dan perpaduan.